SUK Melaka Meninggal Dunia




MELAKA: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari meninggal dunia dipercayai selepas mengalami serangan jantung, hari ini.


Zaidi, 54 menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kira-kira jam 8.15 pagi.


Dalam satu kenyataan Pejabat SUK pagi ini, Allahyarham mengalami serangan jantung sewaktu berada di kediaman rasmi beliau di Bukit Peringgit, di sini pagi tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.


Bantuan pernafasan diberikan oleh pasukan paramedik dan disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di hospital.



Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan dan dibawa ke Masjid Al-Azim untuk disolatkan, seterusnya jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tebong, Alor Gajah selepas solat Jumaat untuk dikebumikan.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam kenyataannya mengucapkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.


"Saya berasa amat dukacita atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang beriman dan bertaqwa.


"Dititipkan juga iringan doa semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang serta dipermudahkan segala urusan.


"Bagi saya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada perkhidmatan awam khususnya Negeri Melaka," katanya.


Zaidi bersama isteri, Datin Wira Siti Rohaya Kamaludin dan empat anak mereka sepatutnya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya, tengah hari esok.

Comments

Popular posts from this blog

Perginya 'bidadari syurga' Sheeda di bulan Ramadan

Kronologi Dan Punca Helikopter Terhempas

Kes Individu Meninggal Dunia Dipukul