Anggota Kumpulan Nasyid Rabbani Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR: Anggota Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 47, yang menderita sakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh, jam 4.44 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham Nazrul disahkan oleh ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz.
Azadan yang dalam perjalanan ke rumah sahabatnya itu berkata, arwah dilaporkan tidak sedarkan diri oleh keluarganya.
"Saya dimaklumkan arwah tak sedarkan diri dan keluarganya sudah pun menghubungi ambulans.
"Setakat ini, saya belum pasti sama ada jenazah akan dibawa ke hospital atau tidak," katanya.
Azadan berkata, arwah ada datang ke kedainya di Saujana Utama tiga hari lalu bagi untuk meminta bantuan bagi pembedahan tangannya yang bengkak.
"Arwah minta bantuan saya untuk dapatkan dana bagi kos pembedahan tangan bernilai RM15,000.
"Jadi, saya merancang mengadakan program supaya dapat membantunya, tapi hasrat itu nampaknya tak kesampaian apabila arwah terlebih dulu pergi," katanya.
Allahyarham yang sudah tujuh tahun tidak aktif bersama Rabbani selepas mengalami masalah penglihatan meninggalkan seorang balu dan enam cahaya mata.
Comments
Post a Comment