Lelaki OKU Disimbah Air Panas
Video :
https://youtu.be/CMC6cqdnVDg?si=_9AeJWG33StIrh7I
BAYAN LEPAS: Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sindrom down melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 33 tahun kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, berkata mangsa tidak bekerja dan seorang OKU sindrom down, namun boleh bertutur dengan baik.
Katanya, menerusi laporan yang dibuat adik mangsa di Balai Polis Bayan Lepas, mangsa dikatakan disimbah dengan cecair disyaki asid oleh seorang wanita sejurus lelaki malang itu menaiki lif.
"Rawatan di HPP mengesahkan lelaki itu melecur di sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan bukan disebabkan simbahan asid, tetapi air panas.
"Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital itu dan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jafri berkata, kejadian itu berlaku dalam lif ketika mangsa mahu pulang ke rumahnya di tingkat 16.
"Berdasarkan rakaman CCTV, hanya mangsa dan suspek berada dalam lif itu ketika kejadian. Polis sudah mengenal pasti suspek wanita yang disyaki tinggal di kejiranan mangsa, namun belum ada tangkapan dibuat.
"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya,.
Terdahulu, rakaman video tular itu memaparkan ruangan dalam lif yang dinaiki seorang wanita memakai baju putih, seluar hitam dan bercermin mata.
Mangsa kemudian dilihat masuk ke dalam ruangan lif itu sebelum wanita terbabit mengeluarkan botol lalu menyimbahkan cecair terhadap mangsa.
Comments
Post a Comment