Kronologi Kes Langgar Lari Dua Pelajar Sekolah



IPOH: Suspek kes langgar lari yang menyebabkan dua beradik maut ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh - Kuala Kangsar, berhampiran Taman Desa Salak, Sungai Siput, semalam, direman empat hari sehingga Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohamad Khaizam Ahmad Shahabudin yang mengesahkan perkara itu berkata, proses reman dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Terdahulu, kenderaan polis yang membawa suspek tiba di IPD Ipoh kira-kira jam 10 pagi dan suspek dibawa masuk ke dalam bilik untuk proses reman pada jam 10.30 pagi.

Suspek yang berpakaian serba hitam itu kemudiannya dibawa keluar kira-kira jam 10.50 pagi.

Semalam, dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam nahas langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran dengan simpang Taman Desa Salak, kira-kira jam 7.12 pagi.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Zuhal Norazlan, 17 tahun, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Khaizam berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh memasuki simpang kanan secara mengejut, menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal Honda EX5 mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Polis berjaya menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 50-an berkenaan sekitar jam 1.20 tengah hari oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun.

Menurut Mohamad Khaizam, suspek yang bekerja sebagai kontraktor telah ditahan dan ujian awal saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.

Polis juga telah mengambil sampel darah suspek untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut di samping merampas kenderaan yang digunakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comments

Popular posts from this blog

Perginya 'bidadari syurga' Sheeda di bulan Ramadan

Kronologi Dan Punca Helikopter Terhempas

Kes Individu Meninggal Dunia Dipukul