Tular Video Ibu Bapa Tertinggal Anak Dalam Kereta
SHAH ALAM - Hampir menjadi ‘tragedi’ apabila sepasang suami isteri terlupa akan keberadaan anak mereka di dalam kereta selepas hampir 15 minit keluar daripada kenderaan itu.
Video berdurasi satu minit 41 saat tular di laman sosial TikTok memaparkan ahli keluarga kanak-kanak berkenaan bergegas keluar rumah apabila menyedari anak mereka yang berusia tiga tahun itu ada di dalam kereta.
"Sejarah hidup tidak pernah lupa, tapi kali ini menjadi pengajaran. Anak tertidur dalam kereta bahagian belakang selama 15 minit. Semuanya selamat,” tulisnya @farishal83.
Mengulas mengenai kejadian itu, @farishal83 berkata, dia dan ahli keluarga tersedar akan ketiadaan si kecil ketika mahu bersalam-salaman dengan ayahnya sebelum berangkat pulang ke kampung.
"Mama teringat dalam kereta sebab ikut pergi hantar kakak ke sekolah. 15 hingga 20 minit tengah panas panas, nasib tingkap ada terbuka,” katanya.
Bagaimanapun @farishal83 menjelaskan bahawa hal berkenaan merupakan suatu perkara di luar jangka.
Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan kesibukan menyambut bulan Ramadan dan diikuti dengan bermulanya sesi persekolahan.
"Moga menjadi pengajaran buat semua termasuk diri sendiri. Biasalah awal persekolahan dan awal Ramadan. Semua kelam kabut mengurus,” ujarnya.

Comments
Post a Comment