Mufti Bersuara Kes Menipu Pada Bulan Ramadhan



Georgetown: Seseorang yang menipu ketika menjual atau membeli sesuatu barang dengan tidak melahirkan keadaan sebenar barang jualannya kepada pembeli, bererti dia sudah melakukan satu penipuan, kata Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.


Beliau berkata, hukum perbuatan itu adalah haram di sisi syariat Islam dan di dalam Al-Quran, terdapat ancaman dengan 'neraka wail' ke atas peniaga yang menipu timbangan atau sukatan.


"Maka demikian jugalah yang boleh dibandingkan secara analogi penipuan dalam menjual makanan yang tidak berkualiti atau rosak, lebih-lebih lagi menipu pelanggan yang mahu membeli makanan bagi berbuka puasa.


"Sehubungan itu peniaga dinasihati supaya takut kepada Allah SWT dalam urusan jual beli.



"Keuntungan yang sedikit tetapi diberkati lebih baik daripada keuntungan yang banyak tetapi mengundang dosa di samping tiada keberkatan di dalam kehidupan," katanya di sini, hari ini.


Wan Salim berkata,, antara manifestasi keterhakisan iman dan kesirnaan nilai moral manusia zaman kini adalah penipuan dalam pelbagai hal ehwal kehidupan termasuk politik, perkahwinan atau transaksi jual beli, malah dalam aspek agama juga wujud gejala negatif ini.


Katanya, mengenai penipuan dalam bidang transaksi jual beli secara khusus, terdapat hadis di dalam Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud 'barangsiapa menipu (dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami'.


"Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam perlu banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.


"Tetapi dukacitanya ada peniaga yang tergamak menjual makanan basi dan rosak di bazar Ramadan," katanya lagi.


Wan Salim berkata, perbuatan itu termasuk dalam kategori tidak beretika yang sudah pasti hukumnya adalah haram.


"Ia termasuk antara maksud memakan harta manusia secara batil atau salah yang dilarang di dalam Al-Quran dan hadis.


"Pada zaman kini iman dan akhlak manusia kian terhakis dan ramai yang meminggirkan ajaran agama termasuk golongan beragama Islam," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Perginya 'bidadari syurga' Sheeda di bulan Ramadan

Kronologi Dan Punca Helikopter Terhempas

Kes Individu Meninggal Dunia Dipukul