Kk Mart Jementah Diarah Tutup
SEGAMAT – Sebuah kedai serbaneka KK Supermart & Superstore (KK Supermart) cawangan Jementah diarah tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) setelah dikesan tidak mengasingkan minuman keras dan minuman biasa di premis itu semalam.
MPS dalam satu kenyataan berkata, operasi penutupan cawangan tersebut susulan pemeriksaan dilakukan yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Segamat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pemeriksaan lanjut menemukan minuman keras yang disorok dalam premis tanpa lesen sah daripada MPS sebelum 196 botol minuman keras disita selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017.
“Premis tersebut diberi arahan menutup operasi serta-merta selaras peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017, kerana dikesan tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas premis itu mendapati tiada penjualan atau penyimpanan stoking yang menulis kalimah ALLAH,” katanya.-KOSMO! ONLINE
Comments
Post a Comment