Bukti Transaksi Terima 120Juta Dalam Akaun Peribadi Najib
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, iaitu dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP).
Pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC, Angela Barkhouse berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana Najib menerima wang berkenaan melalui tiga transaksi.
Saksi kedua dalam kes saman dikemukakan SRC itu berkata, semua dana berkenaan diterima Najib daripada syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd, iaitu AS$70 juta pada 29 Disember 2011, dan masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012.
Barkhouse berkata, beliau menyemak penyata bank AmPrivate Banking-MR milik Najib dan dapat memadankan kira-kira jumlah masuk dalam ringgit dengan urus niaga daripada akaun Blackstone, dalam mata wang dolar AS dengan mengguna pakai penukaran mata wang.
Beliau berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil pula menerima AS$82,000 daripada Blackstone antara 27 Januari dan 8 Februari 2012, bagaimanapun belum dapat mengenal pasti akaun bank tempat pembayaran itu dibuat.
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikatakan menubuhkan Blackstone, iaitu nama sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan sengaja menggunakan nama itu bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.
Barkhouse berkata, Blackstone tidak melakukan apa-apa perniagaan yang sah di mana syarikat itu digunakan oleh Jho Low untuk mengubah wang dengan sekutunya.
"Saya percaya bahawa Blackstone adalah syarikat samaran yang tidak menjalankan perniagaan yang sah, selain daripada mengubah dana yang diselewengkan daripada 1MDB dan SRC.
"Ejen berdaftar Blackstone menyediakan dokumen syarikat yang mengesahkan bahawa pemilik benefisial muktamad syarikat itu ialah Tan Kim Loong, seorang sekutu terkenal, dan proksi untuk Jho Low," katanya.
Sementara itu, Barkhouse melalui pernyataan saksinya berkata dana SRC berjumlah AS$1.75 juta yang dipindahkan ke beberapa syarikat pelaburan, dibayar kepada vendor barang kemas dan barangan berharga.
Beliau berkata, dana berkenaan dipindahkan daripada Affinity Equity International Partners Limited kepada syarikat Blackrock Commodities Global Ltd pada 11 April 2014 dan keseluruhannya digunakan membeli barangan kemas dan barang berharga pada hari sama.
Kes pendakwaan dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menyatakan Blackrock adalah syarikat yang dikawal oleh Kim Loong.
Katanya, dana berkenaan keseluruhannya adalah berjumlah AS$14.9 juta yang dipindahkan oleh Cistenique Investment Fund (daripada SRC) kepada Affinity, dan daripada jumlah itu juga, AS$10.75 juta dipindahkan ke syarikat Paltinum Global Luxury Services Ltd di antara 9 April dan 11 April 2014.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Comments
Post a Comment