Kes Individu Meninggal Dunia Dipukul
NILAI -"Saya tak sanggup nak tengok video itu. Saya harap pelakunya dibawa ke muka pengadilan."
Demikian luah Samad Bakar, 70, bapa kepada Allahyarham Shahril Samad, 41, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul serta diikat sekumpulan lelaki susulan kemalangan berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada jam 9.30 malam Selasa lalu.
Menurutnya, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian sebenar dan hanya mengetahuinya selepas dihubungi anak kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.
"Waktu itu anak ketiga saya hanya beritahu arwah dipukul dan tak cakap pula yang dia sudah meninggal dunia.
"Saya kononnnya nak bersiap ke lokasi, tapi anak cakap tak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di rumahnya di Taman Ulu Beranang di sini pada Khamis.
Menurutnya, tidak sepatutnya arwah diperlakukan sedemikian.
Mohd Asna (kanan) menunjukkan gambar Allahyarham sambil diperhatikan Samad
Tambahnya, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan apabila dimarahi.
"Dia juga masih bujang dan membantu saya serta isteri di kedai makan kami.
"Sebelum kejadian berlaku, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik yang dia akan tinggalkan kami, tapi secara tiba-tiba pulang tidur di rumah sedangkan selama ini dia tidur di kedai," katanya.
Adik Allahyarham, Syazwan Samad, 27, pula berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terlibat.
Comments
Post a Comment