PN Janji Air Percuma Untuk Selangor

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos akan datang.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa gabungan itu tidak mempunyai idea untuk membentangkan tawaran kepada para pengundi.

Jelas Muhyiddin, manifesto yang akan diumumkannya itu disifatkan sebagai 'game changer' kepada Negeri Selangor.

"Saya baru tadi (Selasa) duduk dengan beberapa kawan-kawan saya dalam jawatankuasa nak meneliti persiapan manifesto.

"Saya rasa yang akan saya umumkan ini sesuatu yang bukan sahaja menarik tetapi satu 'game changer' yang boleh meningkatkan Negeri Selangor dan juga kedudukan rakyat Selangor kepada satu tahap yang lebih tinggi," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam di sini pada Selasa malam.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, manifesto tersebut antaranya dijangka meliputi pemberian bantuan langsung kepada golongan kurang berkemampuan termasuk miskin dan miskin tegar.

"(Manifesto) ini dapat memberikan bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung, menyediakan bantuan prihatin, kemudahan untuk anak-anak muda, wanita, orang tua, dewasa dan pelbagai lagi.

"... yang saya teliti tadi agak cukup elok, dan kita akan umumkan pada Jumaat malam akan datang. Ia jelas apa yang termaktub dalam itu termasuk antara lain soal pemberian air secara percuma bagi sesetengah kategori penduduk di Negeri Selangor," jelas Muhyiddin lagi.

Sumber : Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

Perginya 'bidadari syurga' Sheeda di bulan Ramadan

Kronologi Dan Punca Helikopter Terhempas

Kes Individu Meninggal Dunia Dipukul